KOTA KINABALU: Seorang bekas pembantu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dijatuhi hukuman penjara 468 tahun dan denda RM180 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jumlah melebihi RM16 juta.
Hakim Musli Ab Hamid menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38 tahun, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Manakala bagi tiga pertuduhan CBT, beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, yang juga berjalan serentak.
Memetik laporan Bernama, kesalahan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM6 juta berlaku antara tahun 2020 hingga 2022, manakala kesalahan pecah amanah membabitkan lebih RM10 juta berlaku antara tahun 2019 hingga 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, manakala pertuduhan CBT dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan, manakala tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.