Advertisement

Lelaki Ditahan Miliki Lebih 7KG Serbuk Daun dan Air Ketum – Sabah News

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati memiliki sejumlah besar serbuk daun dan air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, Tawau, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau telah menahan suspek seorang lelaki di ruang tamu rumah berkenaan kira-kira jam 11.20 pagi selepas mendapati kelakuannya mencurigakan.

“Suspek turut bertindak agresif ketika ditahan namun berjaya dikawal oleh anggota serbuan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, membawa kepada penemuan satu karung guni berisi tujuh paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kering disyaki daun ketum seberat 7,163.62 gram yang disimpan di dalam sebuah bilik.

“Selain itu, hasil pemeriksaan itu turut menemui sebuah tong oren yang mengandungi 30 botol air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu di bahagian dapur rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan bagi tujuan pasaran tempatan itu dianggarkan bernilai RM3,000.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek warga tempatan berusia 30-an negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, Polis akan menjalankan siasatan dan risikan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran ketum yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan bahan terlarang ini.