KOTA KINABALU: Dua buah bangunan separuh kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah pusat cucian kereta, Dy Drive Thru Carwash, di Inanam petang Sabtu.
Bangunan yang terlibat ialah sebuah asrama pekerja dan stor serta sebuah pejabat, masing-masing berkeluasan 20×50 kaki persegi.
Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba dalam masa kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah, panggilan diterima pada jam 5.28 petang.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.32 petang. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.03 malam selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan di kawasan sekitar,” katanya.
Seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang terlibat dalam operasi tersebut.
Pemadaman dijalankan menggunakan aliran sepanjang 200 hingga 300 kaki dari pili bomba berhampiran dan tangki air.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” tambah sumber.