KOTA KINABALU: Seramai lapan individu termasuk empat bergelar Datuk ditahan dalam siasatan berprofil tinggi melibatkan skim pelaburan Mobility Beyond Imagination (MBI), dengan jumlah rampasan aset mencecah RM3.17 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan dilakukan menerusi operasi khas Ops Northern Star yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Sekretariat Ketua Polis Negara, susulan notis Merah Interpol bertarikh 20 Mac lalu.
Menurut beliau, antara yang ditahan ialah dua ahli perniagaan dan dua peguam yang memegang gelaran Datuk, berusia antara 44 hingga 62 tahun.
“Hasil beberapa serbuan, sebanyak 638 akaun bank dan saham dibekukan membabitkan jumlah RM1.16 bilion, selain 35 hartanah bernilai RM2 bilion turut disita.
“Keseluruhan nilai aset dan barangan yang disita dan dibekukan dianggarkan berjumlah RM3.17 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut dirampas adalah 10 kereta mewah, 12 jam tangan mewah, serta sejumlah wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing.
Tan Sri Razarudin berkata, siasatan mendapati aset dan keuntungan haram tersebut dipercayai hasil daripada skim Ponzi yang beroperasi atas nama ‘Pelaburan MBI’ yang berpusat di luar negara.
Beliau turut mengesahkan bahawa semua tangkapan dan rampasan dilakukan di dalam negara.
Sebelum ini, pengasas MBI yang berasal dari Pulau Pinang, Tedy Teow, telah diekstradisi ke China dari Thailand pada 2023 bagi membantu siasatan kerajaan China berkaitan penipuan pelaburan melibatkan kira-kira dua juta mangsa dengan jumlah kerugian mencecah 500 bilion yuan (RM307 bilion).
Melalui rangkaian pelaburan atas talian yang diragui, Teow membina empayar perniagaan melibatkan hotel, taman tema, hartanah, kasino atas talian dan pusat hiburan di beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia.