KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan agar semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak mempolitikkan isu pelesenan mineral yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Mengulas dakwaan yang dibuat oleh ADUN Elopura, Calvin Chong, Nizam menyifatkan kenyataan tersebut sebagai menunjukkan kedangkalan terhadap proses undang-undang dan memberi amaran agar prinsip keadilan tidak dikorbankan demi persepsi politik.
“Dalam keghairahan untuk mencipta persepsi politik, kita tidak boleh sesekali mengorbankan prinsip keadilan dan proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau turut memetik penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menegaskan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak campur tangan dalam siasatan tersebut serta telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
Menurut Nizam, SPRM telah menemui semua ADUN yang dikaitkan untuk mendapatkan penjelasan serta menjalankan analisis forensik terhadap beberapa video tular, di mana lapan daripadanya didapati telah disunting dan dimanipulasi.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, kami tidak akan melindungi sesiapa jika terbukti bersalah.
“Namun kami juga tidak akan tunduk kepada tekanan politik atau spekulasi tidak berasas,” ujarnya lagi.
Nizam menyeru agar semua pihak bertanggungjawab dalam mengulas isu itu dan tidak menjadikan siasatan sebagai bahan politik murahan.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang berani, tetapi juga adil dan berprinsip,” tegas beliau.