Advertisement

Seorang Lelaki Ditahan, Memandu Ketika Mabuk dan Lima Saman Dikeluar Atas Pelbagai Kesalahan di Penampang – Sabah News

PENAMPANG: Sebanyak 88 kenderaan telah diperiksa dan seorang lelaki telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk di Jalan Bundusan, semalam.

Operasi tersebut telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan, sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

Superintendan Sammy turut menyatakan ketika Op Mabuk yang dijalankan pihak polis semalam turut mengeluarkan lima (5) keping saman di atas pelbagai kesalahan.

“Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai satu pegawai kanan polis dengan dibantu oleh lapan anggota polis berjalan dengan lancar dan telah berakhir jam 3.30 pagi tadi.

“Seramai 94 individu telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.