Advertisement

Projek Empangan Ulu Padas Dijangka Siap Pada Tahun 2030, Bantu Atasi Masalah Bekalan Air di Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Projek Empangan Ulu Padas dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030 berserta projek-projek penjanaan yang sedia ada dan telah dirancang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini akan dapat memastikan jidar simpanan kapasiti penjanaan dikekalkan pada tahap di atas 25 peratus untuk Grid Sabah yang menghubungkan sistem bekalan elektrik ke seluruh daerah-daerah di negeri Sabah dan W.P Labuan.

“Setelah Projek Empangan Ulu Padas ini beroperasi sepenuhnya, masalah bekalan air di Sabah dapat diatasi dengan wujudnya projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang berpotensi untuk membekalkan air sebanyak 6,000 juta liter harian dan mampu menampung keperluan air sehingga 100 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini bagi menjawab soalan ADUN Lamad, Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-BN) mengenai Projek Empangan Tenom.

Selain itu, Hajiji berkata, Projek Empangan Ulu Padas itu turut menyediakan beberapa manfaat termasuk, berpotensi membekal tenaga solar terapung sehingga 200 megawatt di atas tasik yang terbentuk dengan adanya empangan.

“Manfaat seterusnya di mana kawasan tadahan air seluas 4,000 hektar akan menyediakan tempat penyelidikan perhutanan/ perikanan air tawar dan ekopelancongan;

“Kerajaan Negeri Sabah melalui Sabah Energy Corporation akan memperolehi kutipan dividen melebihi RM3 bilion sepanjang 40 tahun dan kutipan fi permit menduduki hutan simpan di bawah perjanjian lesen jangka panjang melalui Jabatan Perhutanan Sabah.

“Terakhir, ia juga erfungsi sebagai pengawal aliran air untuk Empangan Pangi 72 megawatt semasa musim kemarau (Meningkatkan penjanaan Empangan Pangi),” jelasnya.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman menambah bahawa kerajaan Negeri Sabah akan kekal komited untuk memastikan Projek Empangan Ulu Padas berjaya dilaksanakan, demi memenuhi keperluan tenaga mampan dan kesejahteraan rakyat Sabah.