KOTA KINABALU, 16 April 2025: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) kelmarin (15 April) telah melancarkan sambutan Hari Bersama Pelanggan bersempena ulang tahun ke-70 penubuhannya dalam satu majlis meriah yang turut digabungkan dengan Rumah Terbuka Hari Raya UTC Sabah 2025.
Majlis yang berlangsung di pusat transformasi bandar itu disertai pelbagai pihak termasuk pelanggan, rakan strategik dan agensi kerajaan, bagi menzahirkan penghargaan kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan tujuh dekad SCC.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas dalam ucapan alu-aluannya berkata, ulang tahun ke-70 bukan sekadar perayaan tetapi satu detik bersejarah untuk menilai pencapaian lampau serta merancang masa depan institusi kewangan itu.
“Tujuh dekad merupakan satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan transformasi. Kita telah membantu membina masa depan yang lebih cerah buat rakyat Sabah melalui perkhidmatan kewangan yang inklusif dan bertanggungjawab,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Ekspedisi Jelajah Bersama Anda, iaitu inisiatif turun padang ke seluruh Sabah merangkumi 13 Pusat Pelanggan Daerah dan 7 Pusat Perkhidmatan Pelanggan SCC.
George menjelaskan, siri jelajah itu akan memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan komuniti setempat selain memberi ruang kepada orang ramai untuk lebih memahami peranan serta nilai-nilai teras SCC.
“Hari Bersama Pelanggan adalah ruang untuk kita merapatkan jurang dengan masyarakat, menghargai sokongan mereka dan terus membina kepercayaan terhadap SCC,” katanya.
Antara tarikan utama sambutan kali ini ialah pameran sejarah dan pencapaian SCC yang memaparkan transformasi organisasi sejak 1955 serta kejayaan pelanggan yang mendapat manfaat daripada pelbagai skim pembiayaan.
Dalam usaha terus bergerak seiring dengan perkembangan semasa, SCC turut memperkenalkan inisiatif masa depan meliputi transformasi digital, penambahbaikan sistem perkhidmatan pelanggan dan pendekatan lebih lestari.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan landskap kewangan yang berubah. Teknologi akan menjadi pemacu utama dalam usaha kita untuk kekal relevan dan cekap,” ujar George lagi.
Majlis turut menyelitkan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk sumbangan kepada sekolah, sokongan terhadap program komuniti dan bantuan pembiayaan untuk usahawan kecil di seluruh negeri.
Penerima sumbangan adalah Sekolah Kebangsaan Api Api Kota Kinabalu untuk bumbung perhimpunan sekolah berjumlah RM519,920.00, diterima oleh Guru Besarnya, Mohd. Hafiz Zuraumy Damsah; Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sabah yang menerima peralatan perubatan, Kamera Fundus bagi kegunaan rawatan penyakit diabetes bernilai RM392,000.00, diterima oleh Pengerusinya, Professor Rosalind Kueh.
“Ini adalah komitmen jangka panjang kami dalam memperkasa masyarakat dan menyokong pembangunan sosioekonomi Sabah,” kata George.
Dalam suasana Syawal, Rumah Terbuka Hari Raya yang dianjurkan bersama UTC Sabah menambah kemeriahan majlis dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat bagi mengeratkan silaturahim dan memupuk perpaduan.
George turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja SCC, rakan kerjasama dan pelanggan yang telah menyumbang kepada kejayaan organisasi itu sepanjang 70 tahun.
“Sambutan ini bukan tentang melihat ke belakang semata-mata, tetapi untuk menetapkan nada dan hala tuju masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Sambutan ulang tahun ke-70 SCC dijangka akan diteruskan dengan pelbagai program sepanjang tahun sebagai tanda komitmen terhadap pelanggan dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.