Advertisement

Kerajaan Negeri Sentiasa Bekerjasama Dengan KKM Tambah Bilangan Doktor Pakar dan Petugas Kesihatan di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menambah bilangan doktor dan petugas kesihatan di negeri ini.

Menteri KPMKR, Datuk James Ratib memaklumkan, isu atau kekangan yang dihadapi ketika ini ialah, isu perjawatan yang tidak mencukupi.

“Saya sebagai Exco Kesihatan telah mengemukakan keperluan tambahan perjawatan kepada KKM dan KKM masih menunggu keputusan pertambahan jawatan ini dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Sementara itu, James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut memaklumkan, dari segi peruntukan, Hospital Duchess of Kent (HDOK) telah diberi peruntukan bagi kerja-kerja naiktaraf dan penyelanggaran, iaitu sebanyak RM22 juta bagi
tahun 2025 dan RM1.6 juta bagi tahun 2024.

“Untuk tujuan pemantauan projek pembinaan dan naiktaraf hospital pula, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Sandakan membuat pemantauan bulanan di samping pemantauan secara harian oleh HDOK sendiri.

Manakala keperluan tempat letak kereta bertingkat bagi menampung jumlah klien yang tinggi di HDOK diselesaikan dengan beberapa tindakan termasuk meminjam tanah SMJK Tiong Hua berdekatan sehingga bangunan baru siap.

“Selain itu, membuat rundingan dengan pihak Majlis Perbandaran
Sandakan untuk mendapatkan tanah serta melihat kemungkinan penglibatan pihak swasta,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 21 latihan dan 45 Pendidikan Kejururawatan Lanjutan (CNE) dirancang untuk setahun melibatkan Kluster Hospital iaitu Hospital Kinabatangan dan Hospital Beluran.