Advertisement

Polis Siasat Video Tular Kejar Viva Disyaki Terlibat Curi Kabel Di Tuaran





Tangkap layar video tular sekumpulan individu mengejar sebuah kenderaan Perodua Viva di Jalan Tuaran Bypass…

KOTA KINABALU, SABAH – Polis telah memulakan siasatan berhubung satu video berdurasi 44 saat yang tular di media sosial, memaparkan sekumpulan individu mengejar sebuah kenderaan Perodua Viva di Jalan Tuaran Bypass, dipercayai berkaitan cubaan mencuri kabel.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kenderaan yang dirakam dalam video itu telah dikenal pasti sebagai kenderaan yang digunakan oleh suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini.

“Kami memandang serius perkara ini dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti semua individu yang terlibat serta motif sebenar kejadian,” katanya.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak bertindak melulu.

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri seperti mencederakan suspek atau melakukan sebarang tindakan fizikal,” tambahnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.