KOTA KINABALU: Pendidikan literasi politik dalam kalangan belia Sabah penting bagi melahirkan pengundi celik dan pemimpin masa depan, kata ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Menurut beliau, pendedahan awal kepada tadbir urus kerajaan dan proses perundangan memberi ruang kepada belia untuk menjadi lebih daripada sekadar pemerhati, sebaliknya, sebagai pemikir, penyumbang idea dan pelaksana perubahan di peringkat komuniti.
“Pendidikan politik bukan bererti berpolitik, tetapi membina kesedaran dan tanggungjawab.
“Golongan belia perlu diberi ilmu serta platform untuk menyuarakan pandangan mereka secara konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan kepentingan melibatkan belia dalam proses membuat keputusan, terutama dalam menghadapi isu seperti pengangguran dan ketidaksamaan pembangunan.
Arsad berkata demikian sempena Program Lawatan Belia dan Pelajar DUN Tempasuk ke Bangunan DUN Sabah yang disertai 40 pengundi muda bagi mendalami fungsi institusi legislatif dan sistem demokrasi negeri.
Katanya, inisiatif seperti itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan perlu diteruskan secara berkala demi membentuk generasi muda yang progresif dan celik demokrasi.