KOTA KINABALU: Syarikat Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Pusat Zakat Sabah dalam satu majlis yang diadakan di sini semalam.
Majlis penyerahan itu turut diadakan sempena rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 dan disempurnakan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim.
Zakat tersebut diterima oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad, bagi pihak Pusat Zakat Sabah.
Turut hadir Ketua Bahagian Zakat MUIS, Iwansuzaire Hari; Ketua Sektor Operasi & Wilayah, Daahlan Marali; dan Ketua Unit Zakat Perniagaan MUIS, Muhammad Nur Iskandar.
Menurut Japlin, zakat itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab CIS dalam menunaikan tuntutan agama berdasarkan prestasi dan keuntungan semasa syarikat.
“Diharapkan zakat ini dapat dimanfaatkan untuk membantu para asnaf, dan kita berdoa agar perniagaan CIS terus mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf serta barisan pengurusan Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd.