Advertisement

Wanita 50-an Berstatus ‘Isteri Orang’ Antara Tiga Pasangan Dicekup Khalwat – Sabah News

KUNAK: Seorang wanita masih berstatus isteri orang berumur 50-an antara tiga pasangan yang ditangkap khalwat dalam serbuan di dua hotel bajet sekitar Kunak, awal pagi Sabtu lalu.

Wanita berkenaan sebelumnya mendakwa sudah berkahwin secara nikah kampung bersama pasangan khalwatnya berumur 30-an namun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah yang diiktiraf penguat kuasa agama selain didapati memiliki suami dan masih berdaftar pada sistem JHEAINS. 

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Kunak, Mohd Jeffery Hamad berkata, pelbagai alasan diberikan oleh kesemua pasangan terbabit dalam cubaan untuk melepaskan diri dari tindakan undang-undang.

Salah seorang daripada pasangan yang ditahan merupakan penjawat awam wanita yang dipercayai telah menjalinkan hubungan tanpa ikatan sah sementara pasangannya bertindak melompat keluar dari tingkap bilik hotel di tingkat dua dan melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Sementara itu, satu lagi pasangan berumur 30-an mendakwa mereka sudah bertunang dan hanya menunggu masa untuk melangsungkan perkahwinan.

Menurut Mohd Jeffery, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat Kunak.

Katanya, orang ramai diseru agar tidak mengambil mudah soal pergaulan bebas dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh agama.

Operasi selama hampir tujuh jam yang bermula pukul 10 malam pada Khamis itu disertai 14 Pegawai dan anggota JHEAINS Kunak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).