Advertisement

Pengumuman Kerjasama BN-PH Tidak Jejas Kestabilan Kerajaan Sabah – Nizam – Sabah News

TAWAU: Pengumuman kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – PH Plus.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian BN tersebut adalah hak parti berkenaan dan tidak akan menggugat kerjasama kukuh yang telah lama terjalin antara GRS dan PH Plus.

Bagaimanapun, beliau tidak akan memberikan komen secara panjang lebar memandangkan itu adalah hak parti masing-masing.

“Namun di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang memimpin kerajaan GRS-PH Plus hari ini, negeri Sabah berada di landasan yang betul, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya 1.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam acara perasmian Kejohanan Golf Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Negeri Sabah Cawangan Semporna, di Padang Golf Shan Shui, Tawau pada Sabtu.

Menurut Datuk Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, pelbagai pencapaian dan peningkatan hasil negeri Sabah saban tahun menjadi bukti bahawa pentadbiran sedia ada semakin kukuh dan fokus terhadap pembangunan rakyat.

“Ini merupakan petunjuk yang positif telah terbukti bahawa hasil negeri Sabah semakin meningkat, dan usaha menyelesaikan isu-isu yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu terus dijalankan,” tegasnya.

Terdahulu, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Kinabalu, mengumumkan bahawa BN Sabah bersetuju untuk bekerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa perbincangan tidak rasmi bersama pimpinan PH Sabah telah diadakan, dan rundingan rasmi dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat berikutan PRN yang semakin hampir.