Advertisement

Hantar Mesej Ugut Bunuh, Lelaki Warga Emas Ditahan di Tawau – Sabah News

TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditahan berhubung satu kes ugutan jenayah yang dilakukan melalui aplikasi WhatsApp, pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pesara berusia 67 tahun yang mendakwa telah menerima mesej berunsur ancaman daripada suspek dalam perbualan WhatsApp.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menghantar mesej yang mengandungi ugutan serius terhadap mangsa, termasuk ancaman untuk mencederakan dan membunuh pihak tertentu,” katanya.

Katanya, suspek yang juga warga tempatan berusia 65 tahun telah ditahan kira-kira jam 3.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah rumah di kawasan Taman Semarak, Tawau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan komunikasi bertulis.

“Tiada sebarang rampasan atau kerugian harta dilaporkan. Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujar beliau.

Tambahnya, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan aplikasi telekomunikasi.