MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengakui 145 peratus tarif dikenakan ke atas China adalah tinggi.
Memetik Sputnik/RIA Novosti, bagaimanapun Trump percaya bahawa akan berlaku penurunan yang ketara selepas ini.
“Benar, 145 peratus adalah (kadar) sangat tinggi dan ia tidak akan setinggi itu. Kita bercakap mengenai fentanyl, di mana, anda tahu, pelbagai elemen membinanya sehingga (capai) 145 peratus.
“Tidak, ia tidak akan setinggi itu. Ia akan turun dengan ketara tetapi tidaklah menjadi sifar,” katanya kepada pemberita pada Selasa lalu
Trump turut menyatakan bahawa sebelum ini, kadar tarif yang dikenakan ke atas China adalah sifar dan menyifatkan ia menjadi penyebab AS ‘musnah’.
“China hanya mempergunakan kami (untuk kepentingan mereka) dan ini tidak akan berlaku.
“Kami akan menjadi sangat baik kepada China. Mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Xi (Jinping) … mereka akan melakukannya dengan sangat baik dan saya fikir mereka akan gembira.
“Saya fikir kita akan hidup bersama dengan sangat gembira dan pada hakikatnya, bekerja bersama-sama. Saya fikir ia akan berjaya dengan baik tetapi (tarif) tidak akan capai 145 peratus, tidak akan berada hampir dengan jumlah itu,” katanya lapor Bernama.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang memperkenalkan tarif timbal balik ke atas import dari negara lain, termasuk China.
Duti untuk pengeksport China ke AS kini mencapai 145 peratus dan kadar untuk pembekal AS ke China ialah 125 peratus.