Advertisement

IDS, Sabah Credit Anjur Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabtu Ini  – Sabah News

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Sabtu ini (26 April) bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Memperkasa Usahawan Wanita Muda, yang dilancarkan pada 26 Februari lalu dengan tema Let the Journey Begin. 

Usaha ini bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan, latihan, bimbingan serta strategi pemasaran bagi wanita muda Sabah, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh penyertaan wanita dalam ekonomi.

Selain memperkasa pengetahuan dan kemahiran, program ini turut menyasarkan pembinaan rangkaian usahawan muda serta meningkatkan kesedaran terhadap peluang sokongan perniagaan yang tersedia.

Dalam masa yang sama, ia berperanan memperkukuh literasi digital dalam kalangan wanita luar bandar bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, menyifatkan pemberdayaan wanita muda dalam keusahawanan sebagai antara strategi penting ke arah pembangunan mampan negeri Sabah.

“IDS bertekad untuk membina ekosistem sokongan yang inklusif, merangsang inovasi tempatan dan melahirkan generasi usahawan wanita yang berdaya saing serta berwawasan.

“Pendekatan holistik ini membuka ruang kepada pembelajaran dan kolaborasi, selain menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negeri,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan luar bandar, khususnya dalam kalangan wanita muda, sejajar dengan aspirasi Sabah ke arah ekonomi yang lebih inklusif, progresif dan mampan.