Advertisement

Kos Ganti Tiang Lampu Gaya Street Akibat Vandalisme Cecah RM6,500 – Sabah News

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menzahirkan kebimbangan terhadap kejadian vandalisme yang terus berlaku di sekitar bandar raya, susulan kerosakan terbaharu melibatkan sebuah tiang lampu di Jalan Jati.

Menurut DBKK, insiden itu dipercayai berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab dan memerlukan kos ganti mencecah RM6,500 untuk membaik pulih kemudahan tersebut.

“Kos penggantian dan pembaikan kemudahan awam yang rosak akibat vandalisme adalah tinggi, dan memberi beban kepada perbelanjaan bandar raya,” kata DBKK dalam kenyataan.

DBKK menegaskan bahawa sebarang kerosakan disengajakan terhadap harta benda awam boleh dikenakan tuntutan ganti rugi, termasuk tindakan undang-undang secara sivil jika individu terlibat enggan membayar.

DBKK turut menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang perbuatan vandalisme kepada pihak berkuasa dan bekerjasama dalam memelihara kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.

“Kemudahan awam adalah hak semua. Kita harus bertanggungjawab menjaga dan menggunakannya dengan beretika,” tambah kenyataan itu.