KOTA KINABALU: Pertembungan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah dilihat sukar dielakkan, walaupun terdapat persetujuan dasar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kerjasama antara Pakatan Harapan (PH)-BN dan GRS.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, “luka pengkhianatan” oleh UMNO Sabah dan serangan berterusan terhadap GRS menjadi penghalang besar dalam rundingan pembahagian kerusi antara dua gabungan tersebut.
“Keputusan konkrit pembahagian kerusi akan kekal buntu selagi Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal menerajui UMNO Sabah,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkarnain turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri Sabah kini terbentuk hasil gabungan GRS dan PH, yang sehingga kini tidak menunjukkan sebarang masalah besar dalam kerjasama mereka.
“Ketika usaha menjatuhkan kerajaan negeri digerakkan oleh Bung Moktar dan Shafie Apdal pada 2023, PH tampil menyelamatkan kerajaan yang ada.
“Tanpa PH, GRS mungkin kini berada di kerusi pembangkang,” katanya.
Beliau menambah bahawa sokongan rakyat terhadap GRS, yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor, kini semakin kukuh berdasarkan dapatan beberapa kajian bebas, sementara UMNO pula dilihat semakin hilang pengaruh di Sabah.
Walau bagaimanapun, G57 berpendapat bahawa jika pertembungan kerusi tetap berlaku, ia boleh dilihat sebagai satu pertandingan persahabatan memandangkan GRS dan BN berada dalam satu pasukan di peringkat persekutuan.