Advertisement

Wanita GRS DUN Darau Diseru Terus Tambah Jentera Hadapi PRN Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd Dun menegaskan keperluan menambah bilangan jentera wanita di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal tiba.

Berucap dalam Program Jalinan Kasih Jentera Wanita DUN Darau, beliau berkata sekadar menang tidak mencukupi, sebaliknya GRS perlu menang besar untuk memastikan kesinambungan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada seribu jentera. Itu belum cukup. Setiap PDM mesti mempunyai sekurang-kurangnya 25 orang jentera wanita merangkumi semua komponen parti, tetapi jumlah ini hanya asas. Kita perlu tambah lagi,” tegas beliau ketika menyempurnakan program tersebut pada Ahad di Dewan Al Munir Kampung Darau.

Menurut Datuk Azizah, kekuatan akar umbi wanita memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pilihan raya, khususnya dalam mendekati pengundi pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

“Kita tidak boleh hanya lihat senarai pengundi. Kita mesti turun padang, kenal mereka, dekati mereka. Ini bukan masa untuk duduk diam,” ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya mempertahankan kepimpinan Hajiji yang menurutnya telah banyak memperjuangkan hak rakyat Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tuntutan 40 peratus hasil negeri, dan usaha menambah kerusi Parlimen bagi suara Sabah yang lebih kuat di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Azizah turut mengiktiraf peranan wanita yang sering bekerja secara sukarela namun kurang mendapat penghargaan.

“Kita semua di sini bekerja secara sukarela. Wanita memang selalunya bekerja tanpa ganjaran, tetapi semangat dan kesungguhan kita inilah yang menjadi tulang belakang kekuatan parti,” katanya.

Program Jalinan Kasih ini dilihat sebagai antara platform penting bagi menyatukan semula kekuatan wanita GRS menjelang PRN akan datang, sekaligus menjadi medan menyemarakkan semangat perjuangan di peringkat akar umbi.