Advertisement

ZAHID HAMIDI TOLAK SENTIMEN “SABAH FOR SABAHAN”, APA PANDANGAN RAKYAT SABAH? – Sabah News

engerusi Barisan Nasional (BN), Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi…

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menolak sentimen ‘Sabah for Sabahan’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Perkara itu mencetuskan kebimbangan bahawa kepimpinan pusat sekali lagi cuba mencengkam kuasa politik negeri itu.

Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan gerakan memperjuangkan autonomi Sabah sebagai memecahbelahkan dan tidak membawa manfaat, seolah-olah menafikan suara akar umbi rakyat Sabah yang sekian lama mendesak lebih banyak kuasa dalam urus tadbir negeri sendiri.

“Kita mahu kerjasama antara parti di peringkat persekutuan dan negeri supaya tiada lagi sentimen ‘Sabah for Sabahan’.

“Semua pihak perlu ingat bahawa kita semua rakyat Malaysia,” kata Zahid memetik FMT.

Kenyataan itu dianggap sinis terhadap aspirasi politik tempatan yang semakin mendapat tempat, khususnya di kalangan pengundi muda Sabah yang mahukan dasar-dasar lebih berteraskan realiti dan keperluan sebenar rakyat negeri itu.

Lebih mengejutkan, Zahid turut menegaskan bahawa UMNO tetap akan bertanding di semua kerusi yang pernah dimenangi pada PRN 2020 termasuk kerusi yang kini dipegang parti-parti tempatan sebelum sebarang rundingan dilakukan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pendekatan itu dilihat sebagai langkah tunjuk kuasa oleh kepimpinan pusat yang enggan berkompromi.

Ini muncul ketika Ketua Menteri Hajiji Noor baru-baru ini menekankan bahawa parti tempatan Sabah perlu menjadi teras kepada kerajaan negeri, dengan alasan mereka lebih memahami budaya dan keperluan rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim pula cuba meredakan ketegangan dengan menyeru agar GRS turut terlibat dalam kerjasama politik bersama PH dan BN.

Namun kenyataan Zahid dilihat bertentangan dengan semangat muafakat yang cuba dibawa Anwar.

Kenyataan Zahid ini dijangka mengeruhkan lagi hubungan antara pemimpin pusat dan aspirasi rakyat Sabah, sekali gus menyemarakkan semula perdebatan tentang otonomi politik dan semangat kenegerian yang masih membara di Borneo.

Justeru, berhubung kenyataan Zahid ini memberi banyak persoalan dan kebimbangan kepada rakyat Sabah khususnya pada individu yang layak untuk mengundi kelak. Apa pandangan rakyat Sabah terhadap perkara ini?