Advertisement

Kesedaran Derma Darah Perlu Dipertingkatkan – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu lebih banyak program dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.

“Saya dimaklumkan bahawa keperluan darah harian di Sabah adalah sebanyak 300 unit, dan setiap tahun, kita memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit. Namun, sehingga kini, hanya 75,000 unit berjaya dikumpulkan setiap tahun,” katanya semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth II, di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri  merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam
untuk menjadi penderma tetap.

“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Hajiji berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan
rakyat. Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.

Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan negara — iaitu jururawat kita.

“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai ‘penjaga pesakit’ di hospital
— malah mereka adalah pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.

Ketua Menteri turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemantauan, malah turut
memberi sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.

“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab ketika itu.

“Sesungguhnya, mereka adalah wira yang tidak didendangkan, yang tetap tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan
luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya.