KUALA LUMPUR: Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara timur Ukraine pada 2014.
Tragedi itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 196 warga Belanda dan 38 warga atau penduduk Australia.
Menurut kenyataan berasingan dari kerajaan Belanda dan Australia, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan meneliti bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang.
Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 telah ditembak jatuh ketika konflik sengit antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, mahkamah Belanda mendapati dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine bersalah atas tuduhan membunuh, namun ketiga-tiganya dihukum secara in absentia (tanpa kehadiran).
Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai “skandal” dan menegaskan tidak akan mengekstradisi warganya.
Kes ini difailkan oleh Australia dan Belanda pada tahun 2022.
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, menyatakan keputusan ICAO itu sebagai langkah penting ke arah keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17 serta keluarga mereka.
“Keputusan ini juga menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa. Sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa akibat,” katanya.
Australia turut menggesa ICAO agar segera menentukan bentuk pampasan.
Menteri Luar Australia, Penny Wong, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan itu dan mendesak Rusia agar bertanggungjawab dan menunaikan kewajipan undang-undang antarabangsa.
ICAO tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, tetapi memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima oleh kebanyakan 193 negara anggotanya.