Advertisement

PRN Sabah: Sudah Tiba Masanya GRS Tampilkan Calon Muda – Sabah News

PUTATAN: Pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran untuk memberi peluang kepada calon-calon muda untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 termasuklah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Petagas.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit menegaskan perkara perkara tersebut kerana lebih 60 peratus pengundi di Sabah, termasuk di kawasan Petagas, adalah terdiri daripada golongan muda berumur bawah 40 tahun.

Katanya, ini sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk suara generasi muda diwakili dalam barisan kepimpinan negeri.

“Sudah tiba masanya GRS tampilkan calon-calon muda yang berkebolehan. Suara anak muda perlu diangkat ke peringkat kerajaan negeri. Mereka juga berhak terlibat dalam menentukan hala tuju negeri,” katanya ketika ditemui media pada Mesyuarat Agung Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat di sini pada Sabtu.

Beliau turut menekankan bahawa kehadiran calon muda tidak bermakna menolak sumbangan pemimpin lama, sebaliknya satu langkah untuk mengimbangi pandangan semua peringkat umur termasuk warga muda, pertengahan dan emas, demi membentuk dasar yang inklusif dan progresif.

Mengulas mengenai pembangunan di Petagas, Isquzawan menyifatkan kawasan itu masih memerlukan kemudahan asas yang mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Putatan adalah kawasan kecil dengan majoriti penduduk bekerja dalam sektor makanan dan perikanan di mana kita juga memerlukan balai bomba sendiri, balai polis sendiri dan klinik kesihatan yang lengkap,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kawasan Putatan atau Petagas bagi memudahkan anak-anak muda melanjutkan pelajaran tanpa perlu berhijrah ke daerah lain.