Advertisement

Sentimen “Sabah for Sabahans” Tuntutan Keadilan, Bukan Memecahbelahkan – David – Sabah News

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong menegaskan bahawa slogan “Sabah for Sabahans” bukanlah seruan yang memecahbelahkan seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya adalah tuntutan keadilan terhadap rakyat Sabah yang telah lama dipinggirkan.

“Sabah for Sabahans bukan bermaksud menolak Malaysia. Ia adalah tentang memastikan rakyat Sabah tidak terus ketinggalan di negeri sendiri,” kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak penubuhan Malaysia, sumber asli Sabah telah dieksploitasi untuk pembangunan di Semenanjung, manakala Sabah terus berdepan kelemahan dalam infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan peluang ekonomi.

“Ia soal membetulkan ketidakseimbangan dan ketidakadilan yang telah berlaku selama beberapa dekad. Rakyat Sabah berhak bersuara dalam urus tadbir negeri serta pengurusan sumber kami sendiri,” tambahnya.

Ong turut mempersoalkan pendirian Zahid yang menurutnya berdiam diri terhadap retorik perkauman dan keagamaan yang dimainkan oleh sesetengah pemimpin dari Semenanjung, sedangkan seruan keadilan dari Sabah dilabelkan sebagai memecahbelahkan.

“Di Sabah, masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup dalam harmoni. Seruan ini adalah demi perpaduan sebenar dan masa depan yang lebih adil bagi negeri kami,” katanya.