Advertisement

UPKO, PBRS Dakwa Jadi “Jambatan Sabah” di Putrajaya – Sabah News

KUALA LUMPUR: Dua parti dari Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menegaskan peranan mereka sebagai “jambatan Sabah di Putrajaya” dalam memperjuangkan kepentingan negeri itu di peringkat Persekutuan, termasuk isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam kenyataan bersama, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sembilan tuntutan MA63 telah berjaya diselesaikan oleh Kerajaan MADANI, manakala empat lagi telah ditangani oleh kerajaan terdahulu.

“Kami konsisten menyuarakan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat Sabah melalui platform masing-masing, termasuk di Kabinet.

“Pendekatan kerjasama dan rundingan telah menunjukkan hasil yang positif,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua parti turut menekankan keperluan meneruskan perjuangan tuntutan MA63 yang masih belum diselesaikan.

Mereka juga berkata untuk terus memperjuangkan prinsip “Sabah First” dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) dari tahun 2026 hingga 2030.

Mereka menegaskan bahawa semua parti politik di Sabah perlu berganding bahu dan mengutamakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan demi kebaikan rakyat, berbanding memilih jalan konfrontasi.

Dalam konteks persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang, UPKO dan PBRS berpandangan bahawa sebarang perundingan bagi membentuk gabungan besar politik Sabah perlu diasaskan kepada aspirasi tempatan, tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian masyarakat.

“Kami akan terus komited menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah dan kesatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.