Advertisement

Dua Mangsa Hilang di Hutan Tamaco Ditemui Selamat, Dua Lagi Berjaya Keluar Sendiri – Sabah News

LAHAD DATU: Dua lelaki yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu di kawasan hutan Tamaco, Tungku akhirnya ditemui selamat hari pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan penemuan kedua-dua mangsa dan memaklumkan bahawa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7 malam, semalam.

“Kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Mereka dibawa keluar dari hutan dan menerima rawatan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media, semalam.

Terdahulu, operasi SAR digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lahad Datu selepas menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Tungku pada pagi Isnin, 12 Mei.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah, empat lelaki telah masuk ke hutan Tamaco pada 8 Mei lalu untuk mencari hasil hutan dan berpecah kepada dua kumpulan. Dua daripada mereka berjaya keluar, manakala dua lagi dilaporkan hilang.

Pasukan SAR terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta orang awam memulakan operasi pencarian semalam, namun terpaksa ditangguhkan jam 4 petang berikutan cuaca buruk.

Mangsa pertama dijumpai pada pukul 12 tengahari oleh pihak ladang dan mangsa kedua dijumpai pada pukul 4 petang dengn kedua-duanya dalam keadaan lemah dan segera dihantar ke Klinik Tungku untuk pemeriksaan lanjut.