Advertisement

Negara Berkabung, Beri Penghormatan Terakhir Kepada Sembilan Perwira Negara Nahas Kemalangan Trak FRU Awal Pagi Tadi – Sabah News

IPOH: Negara hari ini berkabung apabila sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Teluk Intan, Perak semalam, diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Upacara penuh kepahlawanan itu berlangsung di FRU Unit 5, Sungai Senam, seawal jam 3.46 pagi, sebaik ketibaan semua jenazah dan jasad dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 3.13 pagi.

Setiap keranda dilitupi dengan Jalur Gemilang, simbol penghargaan negara kepada pengorbanan perwira yang gugur ketika bertugas.

Tujuh daripada sembilan mangsa beragama Islam disolatkan di Surau Al-Mustakim, dengan Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali sebagai imam. Sebelum itu, solat jenazah turut diadakan di surau IPD Hilir Perak selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, kira-kira jam 12.33 tengah malam.

Upacara penuh emosi itu disaksikan lebih 500 orang, termasuk waris mangsa, anggota polis, dan masyarakat setempat yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada wira negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, yang menyampaikan ucapan takziah dan penghargaan kepada keluarga mangsa atas pengorbanan luar biasa yang ditunjukkan anggota FRU.

“Mereka adalah lambang keberanian dan kesetiaan. Negara kehilangan sembilan anggota yang komited kepada tugas dan negara. Kami berjanji untuk memastikan setiap pengorbanan ini dikenang dan dihargai selayaknya,” kata Ayob Khan dalam ucapannya.

Difahamkan, jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan mengikut kepercayaan dan adat keluarga.

Kemalangan tragis itu berlaku ketika kenderaan membawa anggota FRU dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan khas.

Siasatan awal mendapati trak yang membawa mereka hilang kawalan lalu terbabas.