KOTA KINABALU: Semua pemimpin peringkat nasional diseru agar berhenti memainkan sentimen bangsa dan agama, sebaliknya menumpukan perhatian kepada janji serta tanggungjawab yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Seruan itu disuarakan oleh bekas Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kepayan, Jafery Jomion, yang turut menyatakan sokongan teguh terhadap pendirian Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dalam mempertahankan sentimen ‘Sabah for Sabahan’.
Menurutnya, sentimen tersebut bukanlah retorik pemisahan atau ancaman kepada perpaduan nasional, tetapi merupakan isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan agar menghormati dan menunaikan hak-hak yang telah lama dijanjikan kepada rakyat Sabah.
“Ini bukan isu perkauman atau 3R. Ia adalah perjuangan berasaskan keadilan dan penghormatan terhadap asas pembentukan Malaysia. Sabah bukan negeri kedua, tetapi rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sabah hanya menuntut hak di tanah air sendiri dan bukan menolak kerjasama dengan kerajaan pusat. Tambahnya, kestabilan negara tidak akan dapat dicapai jika suara rakyat Borneo terus dipinggirkan.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, Jafery menyatakan rasa kecewa dan menyifatkan pemimpin sepatutnya lebih memahami aspirasi rakyat Sabah yang telah lama menyokong kepimpinan negara.
“Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, suara rakyat Sabah sering direndahkan, tetapi kami tetap punya daya dan maruah untuk bangkit mempertahankan hak kami,” tegasnya.
Sebagai anak jati Sabah, beliau berkata dirinya akan terus mempertahankan perjuangan ini hingga ke titisan darah terakhir dan menyeru seluruh rakyat negeri itu untuk bersatu padu mempertahankan hak dan maruah mereka.
“Seperti aur dengan tebing, marilah kita bersatu. Jangan biarkan hak kita tergadai kerana jika kita terus leka dan takut bersuara, hak kita akan terus terpinggir,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Jafery turut menyatakan komitmen untuk terus bersama Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan rakyat Sabah demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah untuk generasi akan datang.