KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa masih gagal menerima kenyataan bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) telah hilang sokongan di Sabah apabila mencadangkan kerjasama politik baharu menggunakan nama “BN–PH plus plus plus” bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar dalam satu kenyataan hari ini berkata, cadangan tersebut menggambarkan hasrat Zahid untuk meletakkan BN kembali dominan di negeri itu, walaupun rakyat Sabah secara jelas telah menolak UMNO dan BN dalam PRN lalu.
“Nama yang lebih tepat sekiranya mahu menggambarkan realiti semasa ialah GRS–PH–BN, bukannya BN–PH plus plus plus. Ini kerana kerajaan negeri hari ini terbentuk hasil kerjasama GRS dan PH, manakala BN hanya sebagai pelengkap,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan Zahid itu seolah-olah mengabaikan fakta bahawa kekuatan politik utama di Sabah kini terletak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), bukan BN.
Zulkarnain juga menjangkakan pertembungan antara GRS dan BN dalam PRN-17 amat sukar dielakkan dan UMNO-BN bakal berdepan tentangan sengit di lapangan.
“Dapatan dua kajian bebas setakat ini menunjukkan 72 peratus sokongan rakyat Sabah berada di pihak GRS, manakala hanya 28 peratus kepada BN. Ini menandakan penolakan berterusan terhadap UMNO-BN,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada PRN-16 lalu, UMNO-BN hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi, menunjukkan kemerosotan sokongan yang serius.
“Zahid perlu sedar realiti politik di Sabah. Usaha memanipulasi kedudukan BN dengan meletakkan nama parti itu di hadapan hanya akan menjarakkan lagi hubungan antara komponen dan merugikan rakyat Sabah,” kata Zulkarnain lagi.