Advertisement

Perhimpunan Aman ‘Sabah 4 Sabahan’ di Kota Kinabalu Pada 21-22 Jun – Sabah News

KOTA KINABALU: Gerakan Bangkit Sabahan akan menganjurkan satu perhimpunan aman bertemakan ‘Sabah 4 Sabahan’ selama dua hari pada 21 dan 22 Jun 2025 di Kota Kinabalu.

Ketua Penasihatnya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, lokasi perhimpunan itu akan diumumkan pada awal Jun ini.

“Perhimpunan ini dijangka menarik kehadiran seramai 15,000 orang dan akan menampilkan tokoh-tokoh politik terkenal Sabah sebagai pemidato utama di pentas utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jemputan juga akan dipanjangkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa aktivis dari Sarawak untuk turut sama berucap dalam perhimpunan berkenaan.

Jelasnya, perhimpunan aman itu bertujuan menunjukkan solidariti rakyat Sabah terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam usaha mempertahankan hak dan kedaulatan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang bakal diadakan.

Sebelum ini, pada 31 Disember 2024, Gerakan Bangkit Sabahan turut menganjurkan Perhimpunan Bangkit Sabahan di Anjung Selera, Likas yang dihadiri kira-kira 1,500 peserta daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).