KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, mempersoalkan semula kegagalan menjawab isu kehilangan dana RM7.5 bilion bagi kemudahan asas semasa pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah UMNO.
Beliau berkata, sehingga kini persoalan itu masih belum dijawab secara tuntas dan hanya disambut dengan reaksi beremosi oleh Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
“Nama saya cukup kuat untuk memanggil beliau keluar dengan nada marah dan penuh emosi.
“Tapi persoalan sebenar, ke mana hilangnya RM7.5 bilion dana kemudahan asas ketika era UMNO? Masih belum dijawab,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nizam menyifatkan serangan Suhaimi sebagai tindakan mempertahankan kepentingan lama dan mengelak daripada berhadapan dengan fakta.
“Beliau menyeru saya lihat cermin, tapi kadangkala cermin yang digunakan itu retak. Yang kelihatan hanyalah bayang-bayang dendam politik lama yang belum selesai,” katanya.
Mengulas dakwaan Suhaimi kononnya beliau tidak mengenang jasa UMNO, Nizam menegaskan bahawa beliau tidak menafikan pernah berada dalam kerajaan dahulu, namun sentiasa kekal bersama rakyat dan tidak berdiam diri selama dua dekad sebelum kembali ke pentas politik.
“Berbeza dengan mereka yang hanya muncul kembali untuk menabur persepsi, saya terus bekerja dan kekal setia dengan rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menyindir Suhaimi yang menurutnya secara tidak sengaja menyentuh kelemahan rakan-rakan dalam kabinet negeri ketika cuba menyerangnya.
“Itu adalah contoh meludah ke langit yang paling tepat,” tambahnya.
Nizam menyeru agar politik Sabah bergerak ke hadapan dengan menerima kritikan dan menjawab persoalan dengan data, bukan emosi atau retorik.
“Sabah tidak perlukan politikus yang ‘tersentuh’ bila disentuh. Sabah perlukan pemimpin yang menjawab dengan hasil, bukan dengan sindiran dan nostalgia kerusi,” katanya.
Nizam turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Suhaimi dan menyarankan agar UMNO Sabah membuktikan tekad untuk berubah dengan memberi sumbangan bermakna kepada rakyat, bukan sekadar menyerang.