Advertisement

Jeffrey Tegaskan Keutaaman Kini Adalah Perpaduan Dalam GRS, Fokus Selesai Isu Dalaman Dahulu – Sabah News

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa tumpuan utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini adalah memastikan perpaduan dalaman yang kukuh sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Dalam satu sidang media ringkas hari ini, beliau meminta semua pihak agar bersabar mengenai perbincangan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam gabungan tersebut.

“Tunggu saja,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pembahagian kerusi dalam GRS.

Menurut Timbalan Ketua Menteri itu lagi, perbincangan awal sudah diadakan dalam kalangan parti-parti komponen GRS, namun menegaskan bahawa keutamaan pada masa ini adalah menyelesaikan sebarang isu dalaman terlebih dahulu.

“Kita selesaikan dahulu isu dalaman sekiranya ada, kerana sekarang apa yang penting adalah kesatuan dalam GRS supaya kita dapat bergerak maju ke hadapan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara GRS dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), beliau terbuka dengan sebarang bentuk kerjasama asalkan demi kestabilan politik negeri dan kehendak rakyat.

“Kita akan kerjasama dengan sesiapa sahaja demi kestabilan politik di negeri ini. Kerana kita juga kena dengar rakyat, jika majoriti rakyat katakan A, maka kita perlu beri maklumbalas A juga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa GRS patut bertanding di 40 kerusi, beliau enggan mengulas lanjut.

Menyentuh mengenai senario politik semasa yang menggambarkan persaingan antara gabungan tempatan dan nasional, Dr. Jeffrey menyifatkannya sebagai terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

PRN Sabah dijangka menjadi medan penting bagi menguji kekuatan dan kesepaduan antara gabungan politik di negeri ini, khususnya dalam konteks hubungan antara GRS, PH dan BN.