KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) mengumumkan penguatkuasaan lebih ketat bagi sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini.
Timbalan Presiden KDCA merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata ia bagi memastikan suasana lebih teratur Dan mesra keluarga serta menghormati budaya.
Festival yang memuncak pada 30 dan 31 Mei di kawasan KDCA, Penampang, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri diikuti penutupan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap tingkah laku tidak wajar seperti menari atas meja, mabuk melampau dan muzik melebihi had masa.
“Tahun lalu, kami terima aduan bising dan ada pengendali langgar waktu tutup.
“Tahun ini, muzik wajib dihentikan jam 1 pagi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Katanya, rumah tradisional diwajibkan kekal asli dengan hanya menyajikan makanan dan minuman tradisional.
Pengendali yang menjual alkohol bukan tradisional atau beroperasi lebih masa boleh didenda hingga RM1,000.
“Tahun lalu, enam rumah dikenakan kompaun. Kita mahu sambutan ini mencerminkan budaya, bukan keterlaluan,” tegasnya.
KDCA turut menurunkan kadar sewa gerai tahun ini, bermula serendah RM2,500 berbanding RM7,000 sebelum ini, bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dan inklusif secara ekonomi.
Jeffrey berharap sambutan ini bukan saja menarik pengunjung tempatan, tetapi juga pelabur yang melihat potensi budaya dan biodiversiti Sabah.