KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengecam kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin yang mendakwa negeri itu tidak stabil secara politik dan mundur dari segi ekonomi sebelum tahun 1994.
Dalam satu kenyataan, Ketua Exco Wiramuda STAR, Jordan Jude Ellron menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas dan berbahaya kerana cuba menulis semula sejarah Sabah bagi menghalalkan pengaruh berterusan kerajaan Persekutuan ke atas negeri itu.
“Punca sebenar kelembapan pembangunan Sabah bukan disebabkan perpecahan tempatan, sebaliknya campur tangan Persekutuan, penyelewengan hasil negeri, kegagalan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963, serta dasar pecah dan perintah yang mengekalkan Sabah dalam keadaan lemah dan bergantung,” katanya.
Menurutnya, pengkhianatan politik pada tahun 1994, apabila Barisan Nasional mengambil alih kerajaan negeri melalui lompat parti meskipun rakyat memilih Parti Bersatu Sabah (PBS), menjadi titik hitam dalam sejarah politik Sabah.
“Adalah satu penghinaan untuk mengatakan bahawa Sabah hanya maju di bawah UMNO, sedangkan generasi rakyat Sabah membina negeri ini dengan semangat kental tanpa layanan yang adil atau agihan hasil yang saksama,” tambah beliau.
Jordan turut menegaskan bahawa laungan “Sabah untuk Rakyat Sabah” bukan sekadar slogan tetapi satu gerakan menuntut maruah dan masa depan yang dipimpin oleh anak negeri sendiri.
Beliau menyatakan bahawa Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan telah lama memperjuangkan mesej ini dan kini telah menjadi suara bersama dalam kalangan parti-parti tempatan.
“Bahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menuduh Jeffrey menyemarakkan semangat ini.
“Tuduhan itu membuktikan kekuatan gerakan ini. Kami di STAR berbangga dituduh sedemikian jika itu bermakna kami berjuang untuk hak negeri ini,” katanya.
STAR turut menolak sebarang cubaan membawa masuk semula parti-parti dari Semenanjung seperti UMNO, PKR, Bersatu dan DAP sebagai penyelesaian kepada isu Sabah, kerana menurutnya, semua parti ini hanya “menggunakan Sabah dan kemudian menyisihkannya”.
“Sabah mesti dipimpin oleh rakyat Sabah. Sabah bukan negeri yang gagal. Sabah telah dikhianati. Dan kami tidak akan dikhianati lagi,” katanya.