KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim telah membuat lawatan ke tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Jalan Kokol dan mendapati terdapat isu keselamatan yang membimbangkan, apabila didapati tiada papan tanda amaran atau keselamatan dipasang oleh pihak kontraktor di kawasan pembinaan berkenaan.
Katanya, walaupun projek pembinaan lebuh raya ini masih belum disiapkan sepenuhnya dan belum diserahkan secara rasmi kepada kerajaan, penduduk yang tinggal di sepanjang laluan tersebut terpaksa menggunakannya setiap hari kerana ketiadaan laluan alternatif yang disediakan oleh pihak pemaju.
“Ketiadaan papan tanda keselamatan yang sewajarnya boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk.
“Saya mendapati tiada papan tanda keselamatan dipasang untuk memaklumkan kepada orang awam bahawa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Ini amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Tambahnya lagi, lebih memburukkan keadaan, beberapa insiden kemalangan jiwa telah dilaporkan berlaku di laluan ini, seterusnta mendesak agar pihak kontraktor lebih peka terhadap aspek keselamatan.
“Keselamatan rakyat mesti diutamakan. Saya merayu agar pihak kontraktor mengambil serius perkara ini,” tambah beliau.
Orang ramai dan pemimpin masyarakat setempat menyeru pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi berkaitan, untuk segera mengambil tindakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi piawaian keselamatan tapak pembinaan seperti yang telah ditetapkan di bawah garis panduan projek-projek infrastruktur awam.