KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di Ladang Linddale, dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa, Jufri Untung, 30 tahun, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama hampir lapan jam.
Menurut kenyataan JBPM Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 pagi sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.21 pagi dan mengesahkan kejadian berlaku sebelum memulakan operasi pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang tebing sungai berdekatan.
“Mayat mangsa ditemui pada jam 1.40 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.
Operasi turut dibantu oleh anggota PDRM, Jabatan Hidupan Liar serta penduduk setempat, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Ketua Balai BBP Kinabatangan, PPgB Hairi Utoh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati serta menjauhi kawasan perairan yang dikenal pasti sebagai habitat buaya, khususnya semasa melakukan aktiviti di sungai.