KOTA KINABALU: Aktivis dan artis grafik Fahmi Reza hari ini dihalang masuk ke Sabah.
Fahmi, dikenali dengan karya satira dan kritikan terhadap tokoh politik, berkongsi notis larangan masuk yang diterimanya di Instagram.
Notis bertarikh hari ini itu dikeluarkan Jabatan Imigresen Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, berdasarkan Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63.
Fahmi berkata, beliau dihantar pulang ke Kuala Lumpur sejurus selepas itu.
Awal tahun ini, Fahmi pernah ditahan polis Sabah susulan siasatan berkaitan karya satiranya yang didakwa menghina institusi diraja di bawah Akta Hasutan.
Kedatangan Fahmi ke Sabah kebetulan dengan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terkini, Pengerusi Pakatan Harapan itu dipercayai sedang dalam perbincangan bersama pimpinan negeri di sebuah hotel, di sini.