SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth memberi amaran bahawa ancaman dari China adalah nyata dan berkemungkinan hampir berlaku, sambil menggesa negara-negara di Indo-Pasifik meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka.
Bercakap di Forum Keselamatan Shangri-La, Hegseth menegaskan bahawa wilayah Indo-Pasifik adalah keutamaan pentadbiran Trump, dan sebarang serangan China terhadap Taiwan akan membawa kesan buruk kepada rantau ini dan dunia.
“Beijing sedang mempersiapkan kemungkinan menggunakan kekuatan tentera untuk mengubah imbangan kuasa,” katanya memetik Reuters.
China bagaimanapun membidas kenyataan itu sebagai provokasi dan menuduh AS menjadi pengacau utama kestabilan serantau.
Hegseth turut menyeru sekutu Asia mencontohi Eropah yang kini meningkatkan belanja pertahanan hingga 5 peratus KDNK.
Beliau berkata, Eropah seharusnya tumpu pada benua sendiri supaya AS boleh menumpukan sumber terhadap ancaman China dan Korea Utara di Asia.
Walau bagaimanapun, beberapa pemimpin termasuk Senator Demokrat Tammy Duckworth menyifatkan kenyataan Hegseth sebagai agak memerintah dan kurang sensitif terhadap sekutu Indo-Pasifik.
Laporan oleh IISS menunjukkan perbelanjaan pertahanan Asia kekal sekitar 1.5 peratus KDNK walaupun ancaman keselamatan semakin meningkat.