KOTA KINABALU: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa perdana menteri memastikan parti itu mendapat kembali kuota tujuh menteri dalam Kabinet selepas peletakan jawatan Tengku Zafrul Aziz daripada Umno.
Mengikut laporan Bernama, Zahid berkata kini Umno hanya ada enam menteri.
Beliau menegaskan Umno berhak menuntut satu portfolio menteri bagi menggantikan Tengku Zafrul yang sudah keluar parti.
Zahid juga mengesahkan surat peletakan jawatan Tengku Zafrul telah diterima secara rasmi oleh setiausaha agung Umno.
Mengenai pelanggaran perjanjian pilihan raya oleh Tengku Zafrul, Zahid berkata beliau akan berunding dengan penasihat undang-undang parti kerana calon yang keluar parti boleh dikenakan denda RM100 juta berdasarkan akuan bersumpah.
Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada Umno dan semua jawatan parti pada malam Jumaat serta berhasrat menyertai PKR atas alasan kesesuaian dan nasihat rakan dalam dan luar parti.