Advertisement

5 Cedera Dalam Kemalangan Myvi dan Lori 10 Tan di Matunggung, Kudat – Sabah News

KUDAT: Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi dan lori 10 tan di Kampung Molong Kolong, Matunggung, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 pagi melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.

Pasukan tiba di lokasi pada jam 9:23 pagi.

Menurut Komander Operasi, Martini Asangki, kemalangan melibatkan enam orang mangsa dengan seorang daripadanya, lelaki berumur 32 tahun yang juga pemandu Perodua Myvi, tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Empat mangsa lain telah dikeluarkan lebih awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan jentera bomba.

“Manakala pemandu lori, seorang lelaki berusia 40 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS Bomba dan pegawai perubatan KKM sebelum dihantar ke Hospital Kudat menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.51 pagi,” kata Martini.

Operasi menyelamat disertai oleh 8 anggota bomba menggunakan satu jentera FRT dan satu unit EMRS.

Tiga pegawai perubatan KKM turut terlibat dalam misi ini.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.