SEMPORNA: Aktivis tempatan Mansor Santiri mendesak kerajaan negeri segera mengambil tindakan terhadap isu setinggan dan pengusaha inap desa haram di Pulau Mabul yang didakwanya berlarutan sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Mabul sudah diwartakan sebagai zon industri pelancongan, tapi keadaan makin teruk. Pulau semakin kotor, banyak rumah atas air dibina tanpa kelulusan, dan pelancong kecewa dengan pencemaran sampah plastik,” katanya.
Mansor mendakwa kebanyakan setinggan adalah pendatang tanpa izin dari Filipina yang datang sejak pemberontakan Mindanao pada 1973.
Presiden Persatuan Bajau Semporna Bumiputera itu turut meminta kerajaan menempatkan semula penduduk tanpa dokumen serta memindahkan SK Mabul ke tanah besar atas faktor kebersihan dan kesesakan.
“Ramai tiada kad pengenalan. Jumlah mereka mencecah ribu, jauh lebih besar dari rekod 300 pengundi,” ujarnya.
Menurutnya, sejak 1990-an, ramai usahawan dari Semenanjung dan Sarawak membeli rumah penduduk tempatan dengan harga serendah RM20,000 sebelum dijadikan inap desa haram tanpa lesen kebanyakannya untuk pelancong asing daripada China.
“Ada lebih 10 pengusaha haram beroperasi tanpa kelulusan tanah atau lesen, tetapi tiada tindakan diambil. Di mana penguatkuasaan daerah?”
Mansor, yang keluarganya memiliki geran tanah sejak zaman kolonial, berkata pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Daerah Semporna serta Jabatan Tanah dan Ukur perlu bertanggungjawab dan tidak terus berdiam diri.
“Ini demi menyelamatkan Pulau Mabul yang begitu berharga untuk industri pelancongan Sabah kerana ia pulau terindah di dunia,” tegasnya.