Advertisement

Nasib Ibu Tunggal Terbela, Dapat Rumah Baharu Selepas Kediaman Terbakar Setahun Lalu – Sabah News

Afnah (dua dari kanan) dan Harun bersama pihak prihatin di hadapan rumah baharu di Kampung Taka, di sini…

PITAS: Kesukaran hidup yang dihadapi seorang ibu tunggal selepas tragedi kebakaran yang meragut kediamannya serta tiga ahli keluarga tercinta akhirnya mendapat pembelaan apabila sebuah rumah baharu berjaya dibina untuknya di Kampung Taka, di sini.

Afnah Tundan, 51, sebelum ini kehilangan suami, anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang bapa saudara dalam insiden kebakaran yang berlaku pada Ogos tahun lalu.

Tragedi itu turut memusnahkan sepenuhnya rumah keluarganya, menyebabkan beliau dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah keluarga terdekat sejak kejadian.

Namun, sinar harapan kembali menyinari hidupnya apabila beliau menerima kunci rumah baharu hasil sumbangan Yayasan Kebajikan Negeri Sabah (YKNS) dan beberapa individu prihatin.

Harun (tengah) menyampaikan kunci rumah kepada Afnah (kiri) di majlis ringkas itu…

Penyerahan kunci disempurnakan oleh Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas, Datuk Harun Ismail.

“Saya tidak mampu membina rumah baharu kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada dua anak perempuan yang sudah bekerja untuk menyara makan minum kami sekeluarga. Namun Allah SWT makbulkan doa saya menerusi bantuan insan-insan mulia,” kata Afnah sebak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Datuk Harun atas usaha dan inisiatif membantu membina semula kediamannya di atas tanah bersebelahan tapak asal.

Menurut Harun, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC), kos pembinaan rumah berkeluasan 500 kaki persegi itu mencecah RM61,000, dengan RM30,000 diperuntukkan oleh YKNS, manakala selebihnya ditanggung oleh penyumbang individu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Rumah ini dilengkapi dua bilik tidur, dapur, tandas serta kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, termasuk lampu dan kipas. Pembinaannya bermula Mac lalu dan kini siap sepenuhnya untuk didiami,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) turut mengumumkan pembinaan sebuah asrama transit baharu di SK Bawing, Pitas, bagi menggantikan kemudahan sedia ada yang uzur dan tidak selamat.

Projek bernilai RM100,000 itu akan dimulakan dalam tempoh dua minggu selepas proses reka bentuk diselesaikan. Asrama baharu tersebut akan dilengkapi dua komponen bilik untuk murid lelaki dan perempuan, katil bertingkat, bilik mandi serta tandas.

“PDIS sebelum ini telah berjaya membina kemudahan sama di Kampung Mendurian yang masih digunakan sehingga kini, termasuk menyediakan makan minum untuk pelajar sepanjang tinggal di sana,” katanya.

Usaha seperti ini diharap dapat terus membantu golongan memerlukan serta memberi peluang pendidikan yang lebih selesa dan selamat kepada anak-anak luar bandar.