KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan kekal sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) walaupun telah meninggalkan UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar berkata, kedudukan Tengku Zafrul dalam Kabinet tidak terjejas kerana beliau telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik, terutamanya dalam menarik pelaburan besar ke negara ini.
“Tengku Zafrul menjalankan tugas dengan baik. Pelaburan kita ratusan bilion juga dikendalikan dengan usaha beliau, MITI, Matrade dan kerajaan, jadi khidmat beliau masih diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 hari ini.
Menurut Anwar, sebarang perbincangan berhubung penyertaan rasmi Tengku Zafrul ke dalam PKR belum dimuktamadkan kerana beliau kini sedang menunaikan ibadat haji.
“Kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan ibadat haji, maka biar dulu,” katanya lagi.
Mengulas spekulasi politik yang timbul susulan langkah Zafrul keluar daripada UMNO, Anwar menyeru agar semua pihak menghormati keputusan peribadi Ahli Parlimen itu dan tidak membuat pelbagai tafsiran yang boleh menjejaskan kestabilan politik semasa.
Terdahulu, Tengku Zafrul secara rasmi meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO, langkah yang disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, melalui satu surat peletakan jawatan yang diterima baru-baru ini.