Advertisement

Tandek Jadi Medan Pertarungan Tiga Penjuru: Wetrom Yakin Kemenangan Milik KDM – Sabah News

KOTA MARUDU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek merupakan antara kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, kedudukan itu sedikit tercalar apabila calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda, mencipta kejutan dengan memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu dalam pilihan raya lalu.

Difahamkan, pengundi dari ketiga-tiga kawasan DUN – Matunggong, Tandek dan Bandau – menunjukkan sokongan kuat terhadap KDM.

Persoalannya kini, adakah kira-kira 27,000 pengundi di DUN Tandek akan terus menyokong PBS/GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang?

DUN Tandek kini disandang oleh Datuk Hendrus Anding, yang dijangka akan mempertahankan kerusi tersebut dalam PRN ke-17.

“Namun, ramai pemerhati politik meramalkan bahawa beliau bakal berdepan cabaran getir untuk mengekalkan kedudukannya kali ini.

“Hendrus dijangka akan dicabar oleh calon KDM yang bertekad mahu merampas kerusi DUN tersebut,” kata Wetrom.

Dalam satu program masyarakat di Kampung Surun-Surun baru-baru ini, Wetrom menyebut beberapa nama yang berkemungkinan besar akan mewakili KDM di DUN Tandek.

Antara yang disebut termasuk Benson Tuyundo, bekas pegawai pendidikan daerah yang juga pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kota Marudu, Jimson Majemal, serta Dato’ Baintin Adun dan Lewrence Saibon.

Wetrom turut menyatakan harapan agar rakyat Tandek memberikan sokongan padu kepada mana-mana calon KDM yang dipilih.

“Kita perlu bekerja keras dan bersatu bagi memastikan kemenangan KDM di Tandek,” katanya.

Difahamkan juga bahawa Parti Warisan dijangka akan menamakan Datuk Jilid Kuminding sebagai calon mereka untuk bertanding di DUN Tandek.