Advertisement

Pusat Latihan Autisme Seri Mengasih Baharu di Tanjung Aru Dirasmikan Paduka Puteri Tunku Mariamz – Sabah News

KOTA KINABALU: Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz telah merasmikan bangunan baharu Pusat Latihan Gangguan Spektrum Autisme (ASD) milik Seri Mengasih Centre di Tanjung Aru.

Bangunan yang dinaik taraf ini menjadi simbol komitmen berterusan Seri Mengasih dalam menyediakan sokongan khusus kepada individu dengan ASD melalui program latihan, intervensi terapeutik dan pembangunan kemahiran vokasional dalam persekitaran yang mesra.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Seri Mengasih, Datuk Suzannah Liaw berkata, kehadiran Paduka Puteri memberi suntikan semangat serta kesedaran lebih luas terhadap usaha memartabatkan komuniti autisme di Sabah.

“Fasiliti baharu ini membolehkan kami meluaskan program dan menyentuh lebih ramai individu ASD untuk membantu mereka capai potensi penuh,” katanya.

Seri Mengasih turut mengamalkan kaedah latihan ‘Kololo Method’ hasil kerjasama dengan Kololo Japan sejak 2002, satu-satunya pusat di Malaysia yang mendapat kebenaran menggunakan pendekatan ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Seri Mengasih Centre, Tulip Noorazyze, pusat ini telah berjaya melatih pelajar seawal usia tiga tahun.