KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang menjalankan kajian semula terhadap Akta Perdagangan Elektronik 2016 bagi memastikan ia kekal kondusif, relevan dan komprehensif selaras dengan keperluan serta cabaran semasa dalam sektor e-dagang.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian tersebut dijangka dimuktamadkan pada Ogos ini, sebelum satu keputusan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dipertimbang sama ada akta sedia ada akan dipinda atau digantikan dengan kerangka perundangan baharu.
“Kita sedang teliti sama ada perlu memperkenalkan rejim perlesenan atau mewujudkan bentuk pematuhan tertentu bagi pengendali platform dan penjual dalam talian. Fokus utama adalah mewujudkan persekitaran yang melindungi pengguna tanpa menyekat pertumbuhan sektor e-dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, pada Sabtu yang turut melibatkan penyampaian sumbangan CSR dan wakalah zakat kepada golongan sasar di Sabah.
Armizan pada masa sama turut menegaskan bahawa akta berkenaan perlu diperbaharui agar kerangka perundangan negara mampu menangani isu-isu seperti penipuan atas talian, aduan pengguna dan ketidakpatuhan penjual di platform digital yang jumlahnya semakin meningkat.
“Perundangan ini bukan hanya tentang kawal selia, tetapi juga sebagai pemangkin kepada ekosistem e-dagang yang sihat dan mampan. Kita tidak mahu undang-undang itu kelak menjadi halangan kepada pembangunan sektor ini,” tegas beliau.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor e-dagang menyumbang sebanyak RM248.4 bilion atau 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023.
Pendapatan sektor ini turut mencatat peningkatan kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.07 trilion pada 2021.
“Ini membuktikan betapa besarnya potensi sektor ini dan sebab itulah kita perlu pastikan undang-undang yang ada tidak ketinggalan zaman,” tambah Armizan.
Terdahulu, dalam program anjuran SSM itu, Armizan turut mengumumkan bahawa tiga negeri telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program pada tahun ini, iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Terengganu dengan Sabah sebagai destinasi pelancaran pertama.
Program ini menyasarkan komuniti usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan strategi pemasaran, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
KPDN komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengendali platform dan industri dalam merealisasikan transformasi digital yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.