Advertisement

Lori Bawa 45 Tong Gas Terbakar di Sandakan, Dua Lelaki Melecur

SANDAKAN: Sebuah lori 1.5 tan jenis Isuzu yang membawa muatan 45 tong gas LPG musnah terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian berhampiran Jalan Damai, Taman Kim Jaiyen, pagi tadi.

Menurut kenyataan rasmi daripada Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 11.09 pagi, dan jentera pertama tiba di lokasi 7 minit kemudian, iaitu pada 11.16 pagi.

Kebakaran dilaporkan terkawal pada jam 11:22 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 12.14 tengah hari.

Komander Operasi, PBK I Chauslim Sumsubil, melaporkan bahawa lori tersebut terbakar 100 peratus, dan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan, serta bantuan dua unit buih pemadam (foam) yang diambil dari jentera dan water tanker.

Dua lelaki dilaporkan cedera akibat kebakaran termasuk pemandu lori, lelaki tempatan berusia 50 tahun mengalami melecur pada bahagian bahu dan tangan, serta kalindan lori, lelaki warga Indonesia turut melecur pada tangan kanan.

Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal dan seterusnya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. Tiada kematian dilaporkan.

Seramai 9 anggota bomba dari BBP Sandakan terlibat dalam operasi, dengan kekuatan logistik terdiri daripada FRT (1 unit), EMRS (1 unit) dan water tanker (1 unit). Operasi turut dibantu oleh 4 anggota PDRM dan 2 petugas KKM di lokasi kejadian.

Pemeriksaan lanjut turut dilakukan oleh pasukan bomba di sekitar lokasi bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.

JBPM Sabah menegaskan komitmen untuk terus memberi perkhidmatan cekap, mesra dan berprestasi tinggi dalam menjaga keselamatan awam dan menangani sebarang kecemasan dengan pantas dan berkesan.