Advertisement

PDRM Ingatkan Orang Awam Patuhi Undang-Undang Jika Sertai Perhimpunan Aman

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang awam agar tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan, perarakan atau demonstrasi tanpa kebenaran, khususnya yang dijangka berlaku hari ini, melainkan mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang dan boleh mengganggu ketenteraman awam, keselamatan serta kelancaran lalu lintas.

“Pihak penganjur bertanggungjawab memastikan perhimpunan yang dianjurkan tidak mengganggu ketenteraman awam serta tidak menjejaskan keselamatan masyarakat sekeliling,” katanya di sini, semalam.

Dalam kenyataan tersebut, ACP Kasim turut menyenaraikan 12 jenis kesalahan jenayah** berkaitan perhimpunan aman, termasuk, Seksyen 121B Kanun Keseksaan – Kesalahan terhadap kuasa Raja/Raja Negeri (hukuman penjara seumur hidup).

Seterusnya, Seksyen 142 dan 504 Kanun Keseksaan – Menyertai perhimpunan haram dan membangkitkan kemarahan awam; Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 – Menyebarkan bahan hasutan (penjara 3–7 tahun); Seksyen 6(1) Akta Senjata Berbahaya 1958 – Membawa senjata di tempat awam tanpa alasan sah (penjara 5–10 tahun dan sebat); dan Seksyen 15 APA 2012 – Melanggar arahan polis (denda maksimum RM10,000).

Polis juga menegaskan larangan penyertaan dalam perhimpunan terhadap individu bawah umur serta bukan warganegara, dengan hukuman denda sehingga RM20,000 jika disabit kesalahan.

“Kami tidak menghalang mana-mana pihak untuk bersuara atau berkumpul secara aman. Namun, ia mesti dilakukan secara sah dan tertib,” tegas ACP Kasim.

PDRM turut menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan propaganda atau hasutan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kekeliruan dan mengganggu keharmonian masyarakat.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

PDRM komited untuk menegakkan undang-undang serta memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.