KOTA KINABALU: Tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) semasa protes Gempur Rasuah 2.0 hujung minggu lalu disifatkan sebagai keterlaluan, tidak matang dan memalukan oleh Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin.
“Saya dan PKR Sabah konsisten menyokong hak berhimpun secara aman dan beradab. Tapi kali ini mereka sudah melampaui batas,” katanya.
Menurut Razeef, pelajar-pelajar berkenaan seperti hilang arah apabila memilih untuk menyerang individu yang secara langsung membantu menyelesaikan masalah air di kampus mereka.
“Jelas, Perdana Menteri sendiri meluluskan peruntukan RM3 juta untuk selesaikan isu bekalan air di UMS. Beliau tak ambil satu sen pun dari projek itu. Jadi kenapa beliau pula jadi sasaran? Mengapa bukan individu atau pihak yang betul-betul disiasat kerana rasuah?” soal beliau.
Tambah beliau, protes yang dahulunya penuh semangat reformasi kini berubah menjadi medan provokasi dan penghinaan.
“Mereka gunakan caci maki dan aksi melampau untuk tarik perhatian, tapi apa yang berlaku hanyalah menjauhkan rakyat Sabah dari perjuangan mereka,” katanya.
Beliau merujuk insiden peserta perarakan menjerit terhadap anggota polis yang hanya meminta dokumen pengenalan padahal ianya sesuatu yang sah di sisi undang-undang.
Beliau turut mengulas insiden paling berbahaya dalam perarakan itu iaitu cubaan membakar karikatur Perdana Menteri dengan petrol.
“Bukan sahaja tindakan ini sangat merbahaya, malah ia mencemarkan nama baik pelajar itu sendiri. Mereka cuba bakar dua kali tetapi gagal, malah hampir mencederakan rakan sendiri apabila api dinyalakan semasa petrol masih disimbah,” katanya.
Lebih mengejutkan, kejadian itu berlaku di Pasar Minggu Gaya Street yang dipenuhi pelancong dan keluarga.
“Melempar petrol dan bermain api bukan cara menyampaikan mesej. Itu tindakan membahayakan nyawa dan mencemar imej mahasiswa yang sepatutnya menjadi contoh perubahan yang berhemah,” tegasnya.
Razeef menegaskan bahawa rasuah perlu ditentang habis-habisan, tetapi bukan dengan cara-cara ekstrem.
“Kita menentang rasuah. Tapi kita juga menolak politik kebencian dan aksi vandalisme. Ini bukan budaya kita, dan bukan cara kita mahu lihat pelajar universiti menunjukkan kepimpinan,” ujarnya.